Sunday, February 14, 2016

ke mana kita?

at 9:52 PM
Assalamualaikum,

Masa itu aku pergi temuduga untuk Biasiswa Hadiah Latihan Persekutuan (HLP). Agak lewat sampai ke tempat temuduga, sebab masa itu aku singgah ke sekolah dulu untuk ambil surat asal pelantikan jawatan ke DG41. Kemudian ada modul yang pernah aku buat, pun aku terlupa di dalam kelas, jadi kena singgah juga ke sekolah untuk ambil semua benda tu. 

Sampai di tempat temuduga, pegawai yang jaga kaunter pendaftaran baru saja hendak bangun dan kemaskan tempat, tiba-tiba aku pula muncul, maknanya aku adalah yang terakhir. 

Dapat nombor paling terakhir (agaknya), sebab selepas aku daftar nama, terus pegawai tu kemas-kemas meja pendaftaran. 

Duduk menunggu di tempat yang disediakan, ada sofa, dan ada beberapa orang guru (dan pensyarah IPG) yang sudah sedia menunggu di situ. Sebenarnya, yang buat aku tertarik ialah ada seorang guru perempuan yang bertudung labuh. Tudung bawal biasa, tapi jenis yang agak labuh.

Sewaktu menunggu giliran masing-masing, semua sibuk baca proposal yang dibawa, baca nota-nota yang ada (mengenai dasar-dasar pendidikan), dan ada juga yang berbincang mengenai soalan-soalan yang bakal keluar. Yalah, sebab ada antara kami yang menunggu giliran di situ, pernah melalui sesi temuduga yang sama tahun lepas, cuma gagal bahagian temudugalah.

Yang menariknya, cikgu manis perempuan tadi, aku lihat dia buka satu buku. 

Al-Quran. 

Ya, dia baca Al-Quran saat-saat menunggu.

Tersentak aku, sebab aku tak tahu entah berapa lama aku sudah tidak membaca Al-Quran lagi. Yasin pun jarang-jarang aku sentuh, kalau tidak kerana sekolah menganjurkan bacaan Yasin setiap hari Jumaat, memang rasanya jarang aku hendak buka Yasin sekarang.

Sejam dua berlalu, giliran kami belum lagi sampai. Cikgu perempuan tadi berbual sebentar dengan cikgu yang lain. Kemudian, bila dia kembali tiada teman untuk berbicara, dia buka lagi Al-Quran.

Betul-betul aku terpukul. Saat-saat genting begini, aku tidak meminta pun pada Dia.

Masa itu juga aku buka Yasin. Dan aku terasa, kalaulah aku tidak dapat biasiswa ini, memang padan muka aku. 

Al-Quran yang semakin jarang aku baca.
Yasin pun semakin jarang aku buka.
Solat pun setakat baca Al-Fatihah dan surah 3 Qul saja.

Ke mana arah kita?

...atau lebih tepat, ke mana arah aku...?



0 jika kau rasa:

 

Diari Cikgu Wawa Copyright © 2010 Design by Ipietoon Blogger Template Graphic from Enakei